Tuesday, May 6, 2014

Perginya Lagenda

Bintang lagenda Datuk Aziz Sattar yang memulakan kerjaya seninya sebagai pelakon dan merupakan teman seangkatan seniman negara, Tan Sri P.Ramlee pada zaman kegemilangan dunia perfileman di Jalan Ampas pada era 60-an telah meninggal dunia sekitar jam 2 pagi tadi. Berita kematian Aziz Sattar atau nama sebenarnya Abdol Azez Satta yang selama ini lebih mesra dikenali sebagai Pak Ajis telah disahkan sendiri oleh cucu kandungnya, Abu Ubaidah A.Ishak menerusi akaun twitter peribadinya. Dia yang baru sahaja dimasukkan ke hospital Kajang kira-kira jam 10 malam semalam akibat serangan jantung. Sebelum ini Pak Ajis dikatakan mengadu mengalami sakit dada sebelum rebah akibat serangan jantung ketika berada di rumah salah seorang anaknya. Pak Ajis yang sebelum ini sering membintangi filem-filem komedi bersama Allahyarham Tan Sri P Ramlee turut diingati melalui penampilannya bersama S Shamsuddin melengkapkan trio yang tak mungkin ada gantinya iaitu siri Bujang Lapok. Di usia 88 tahun, Pak Ajis yang dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Pekalongan, Jawa Tengah, Indonesia ini telah meninggal dunia akibat sakit jantung yang dihidapinya selama beberapa tahun.

No comments:

Post a Comment